Skip to main content

Kemanakah hala tuju Kubus

· 6 min read
Fakhrullah Padzil

Projek KUBUS sebenarnya adalah usaha saya untuk membina suatu platform pendidikan yang boleh menjadikan orang suka kepada ilmu.

9 tahun yang lepas (2012), saya telah membina beberapa aplikasi kuiz dengan tujuan yang sama. Pada masa itu, saya dengan semangat, pinjam buku teks dengan sepupu yang masih bersekolah kemudian buat soalan berdasarkan bacaan dari buku teks itu.

senarai kuiz-kuiz IAK - screenshot dari Google Play

Walaupun, saya berjaya buat kuiz-kuiz tersebut, tapi projek tersebut gagal. Sebab, ia tidak berjaya yang diharapkan. Saya biarkan app itu boleh digunakan, tetapi semua sistem login telah mati.

Kini, setelah hampir 10 tahun, kemahiran saya telah meningkat, jadi saya teringin mencuba sekali lagi. Saya berharap kali ini, sebagai seorang yang dah dipanggil pak cik, lebih matang untuk menjayakan projek ini.

Seperti, dalam artikel sebelum, saya takkan mampu buat seorang, saya perlukan bantuan anda semua. Tolong saya, ceritakan pada anak-anak, kawan-kawan tentang KUBUS.

Matlamat KUBUS

Matlamat utama KUBUS ialah membina satu platform pendidikan yang membudayakan rasa seronok untuk belajar.

Zaman sudah berubah, jika dulu, kita menggunakan komputer, tapi kini, semua orang boleh dikatakan ada telefon pintar. Mungkin disebabkan harga yang lebih murah, telefon pintar lebih mudah dimiliki oleh golongan remaja berbanding komputer atau laptop.

Telefon pintar tidak dapat menggantikan fungsi komputer sepenuhnya, tetapi telefon pintar juga adalah komputer. Banyak benda yang boleh dibuat menggunakan telefon pintar.

Oleh sebab itu, KUBUS nak mendekati para remaja, melalui telefon pintar. KUBUS nak alih kebiasaan pelajar yang biasanya guna telefon untuk sosial media dan permainan kepada alat untuk belajar.

Matlamat KUBUS ialah menawan pelajar untuk menggunakan telefon pintar mereka sebagai alat pendidikan, dan mereka lakukan kerana perasaan suka.

Jadi, macam mana nak buat tu?

Rancangan untuk mencapai matlamatnya

Saya merasakan berikut adalah perkara-perkara yang perlu diusahakan untuk menjadikan Kubus App sebuah aplikasi yang pelajar guna setiap hari.

  1. Mempunyai data soalan yang banyak. Isi adalah raja (content is King).
  2. App yang boleh menawan jiwa pelajar.
  3. Kewangan yang yang stabil.

1. Kubus App mesti ada data soalan yang banyak

Kuantiti sangat penting. Bayangkan subjek sejarah ada 100 soalan kuiz sahaja, selepas 2 minggu je, pengguna akan ulang jawab soalan yang sama. Sangat bosan.

Jadi, perkara pertama bagi KUBUS ialah fokus untuk dapatkan koleksi soalan yang banyak. Target, satu subjek ada lebih 10,000 soalan.

Macam mana nak dapat data soalan dengan banyak?

Saya merancang untuk membina Kubus Sukarela web dan app yang boleh membenarkan sesiapa saja untuk menyumbang dan kemaskini soalan. Macam Wikipedia.

Seperti wikipedia, saya juga akan lepaskan data soalan ini di bawah lesen Public Domain (CC0). Jadi, soalan-soalan kuiz yang KUBUS dapat boleh juga digunakan oleh semua orang.

Data-data soalan akan dilepaskan di github.

Saya akan tulis artikel lain tentang bagaimana nak dapatkan koleksi soalan dan bantuan-bantuan yang diperlukan.

2. Kubus App mesti ada fungsi yang menarik dan menawan pelajar

Cuba lihat buku untuk kanak-kanak, dan bandingkan dengan buku untuk pelajar SPM.

Kita boleh lihat dengan jelas bezanya. Buku kanak lebih menawan bukan sahaja dari segi warna tapi dari segi kandungannya.

Kenapa? Sebab penulis buku kanak-kanak faham, mereka perlu menarik minat kanak-kanak untuk belajar.

Tetapi, buku pelajar sekolah menengah sentiasa berfokus kepada lulus ujian dan peperiksaan dengan cemerlang. Tiada usaha nak menarik minat mereka.

Mungkin sebab itu, remaja lebih suka menghabiskan masa dengan benda lain yang lebih menarik. Seperti media sosial dan permainan video. Ada juga yang bernasib baik terjumpa video ilmu yang menarik di YouTube.

Kubus App akan menyediakan unsur permainan dan akan sentiasa mengkaji cara menarik minat pelajar untuk menambah ilmu mereka.

Kami akan buat kuiz yang interaktif dan mencabar minda supaya pengguna sentiasa seronok untuk belajar.

Saya sekarang sedang mengkaji tentang pembelajaran mesin untuk memberi cadangan (Machine Learning for recommendation system) kepada pengguna supaya koleksi kuiz yang diberikan kepada pengguna boleh buat mereka ketagih ilmu, bahagia dan hanyut dalam ilmu.

Saya setuju berlebih-lebihan itu tak baik, jadi Kubus App akan berhati-hati dan meletakkan had tertentu. Buat masa sekarang, dengan penggunaan Pitis sebagai virtual coin akan menjadi penyekat kepada untuk tidak habiskan masa sepanjang masa untuk bermain Kubus App semata-mata.

Di masa hadapan, satu artikel khas akan ditulis untuk menyampaikan kepada semua apa fungsi-fungsi yang ingin kami bina di dalam Kubus App. Kami akan mendengar permintaan pengguna dan akan bertindak untuk kebaikan semua.

Kubus App akan jadi sebuah app yang dibina oleh semua orang. Pendapat dan pandangan orang luar sentiasa dialu-alukan.

3. Kami, pembangun KUBUS mesti pandai mencari duit untuk memastikan projek ini tidak mati (Model Niaga - Business Model)

Berdasarkan pengalaman saya dalam membina pelbagai perisian dan laman web, hampir kesemua projek akan mati dan hilang arah.

Kenapa? Kerana tiada duit untuk memastikan kelangsungan projek tersebut.

Kuiz-kuiz di Google Play saya dibina pada tahun 2012, dan kemaskini terakhir ialah 2015. Walaubagaipun, masih di muat turun dan di beri komen pada tahun 2022.

Saya menjana sebanyak kurang lebih RM 0.00 ~ 0.10 setiap bulan. Yup, 10 sen sebulan. Sebab itu, tak berbaloi untuk saya berterusan menyelenggara kuiz-kuiz. Jadi saya telah pun matikan pelayan (server) dan domain untuk kuiz-kuiz app ini.

Walaubagaimanapun, saya masih percaya idea untuk buat app pendidikan demi masa depan orang muda Malaysia. Sebab itu, saya buat Kubus App.

Berbekalkan pengalaman, kemahiran dan ilmu pengetahuan yang lebih baik berbanding 10 tahun yang lepas, saya harap kali ini ia berjaya.

Salah satu syarat untuk berjaya ialah Kubus mesti boleh buat duit.

Berikut adalah bagaimana Kubus akan buat duit:

  1. Pengiklanan di dalam app menggunakan Google Admob. Berbeza dengan sebelum-sebelum ini, kali ini, saya akan mengkaji dan mengoptimumkan pendapatan melalui Admob tanpa menyakitkan hati pengguna.

  2. Pitis atau duit maya(virtual coin). Kubus App menggunakan duit maya untuk menghadkan beberapa fungsi tertentu kecuali dibeli menggunakan pitis.

  3. Jual beli produk pendidikan digital dan fizikal didalam Kubus App. Kami akan membuka peluang kepada peniaga produk pendidikan untuk menjual produk mereka melalui Kubus App. Sesuai sebagai sebuah app pendidikan produk peniaga akan mencapai target pasaran yang tepat.

Ini adalah sebahagian rancangan Kubus untuk mencari pendapatan agar boleh digunakan untuk memajukan Kubus dan seterusnya kebaikan akan sampai kepada pengguna dan rakyat Malaysia.

Kesimpulan

Terbaik sekiranya semuanya boleh berjalan dengan lancar. Doakan kami semoga berjaya.